Friday, October 19, 2012

MAPEX 2012 - 19-21 Oktober 2012

Pameran Hartanah Yang
Tidak Harus Dilepaskan.

Mid Valley Exhibition Centre
10am - 09.pm

Tuesday, August 28, 2012

Aiman, Izara mesra bersama

MENUNTUT di sebuah kolej yang sama, Aamir dan Zara saling membenci antara satu sama lain. Namun, kedua-duanya terpaksa menjadi pasangan suami isteri menerusi perkahwinan yang sudah diaturkan oleh keluarga masing-masing.

Ia merupakan rentetan kisah drama bersiri Vanila Coklat yang pernah disiarkan di TV3 pada awal tahun ini sehingga mempopularkan dua nama pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Aiman Hakim Ridza dan Izara Aishah.

Biarpun mereka baru kali pertama digandingkan bersama-sama menerusi drama tersebut, ternyata keserasian yang ditonjolkan telah memberi impak yang positif sehingga kini mereka semakin dikenali ramai.

Malah, kemesraan yang ditampilkan semasa sesi fotografi bersama Kosmo! yang diadakan di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor baru-baru ini menunjukkan mereka berdua semakin serasi bersama.

"Saya tidak nafikan drama Vanila Coklat telah berhasil melonjakkan nama saya dan Izara. Malah, saya akui selepas membintangi drama tersebut semakin banyak tawaran berlakon yang diterima.

"Mengenai gandingan bersama Izara pula, saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian bersama. Biarpun saya dan Izara boleh dilabelkan sebagai pendatang baharu, tetapi kami telah memberikan yang terbaik dan gembira kerana lakonan kami diterima ramai," ujar Aiman yang baru berusia 23 tahun itu.

Melihat kepada keserasian yang sudah terjalin antara dirinya dan Izara, pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyatakan dia tidak kisah untuk terus digandingkan bersama dalam mana-mana drama, asalkan mendapat watak dan jalan cerita yang menarik.
Malah, kedua-duanya juga baru-baru ini turut digandingkan dengan sebuah telefilem khas Vanila Coklat Raya sempena Aidilfitri yang telah ditayangkan pada hari raya pertama yang lalu.

"Berkenaan dengan filem Vanila Coklat yang pernah dirancang untuk dihasilkan, saya memang masih lagi mengharapkan agar ia dapat direalisasikan kerana ia merupakan permintaan daripada peminat sendiri," jelasnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan lebaran pada tahun ini, Aiman menjelaskan ia pastinya memberi kelainan apabila buat kali pertama dapat meraikannya sebagai seorang artis.

Friday, May 18, 2012

AARON TERKILAN

Berita Harian : AARON Aziz menyuarakan rasa terkilan kepada Persatuan SENIMAN Malaysia (SENIMAN) kerana tidak berusaha mempertahankan kontroversi membabitkan dirinya sejak memenangi gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) sedangkan dia juga adalah ahli dalam persatuan itu.
Lebih mengecewakan, isu itu meleret-leret kerana selepas status kewarganegaraan dipersoalkan kali ini dia dicabar pula untuk mengemukakan permit kerja sah kerana bekerja dengan syarikat produksi di Malaysia.

Walaupun itu sudah dilihat sebagai agak keterlaluan, Aaron dia masih berdiam diri serta berdiplomasi, malahan sedia menunjukkan permitnya kalau memang diminta berbuat demikian.

Namun, lama kelamaan terdetik dalam hatinya kerana pihak yang banyak mempersoalkan dirinya adalah daripada SENIMAN dan dia juga menjadi ahli berdaftar dengan persatuan itu.

Justeru, dia tertanya-tanya dalam keadaan sekarang, di mana haknya sebagai ahli SENIMAN dan kenapa tidak ada pihak dalam persatuan ini tampil untuk membelanya.

“Saya rasa lebih tersingkir daripada dilindungi sedangkan saya juga ahli SENIMAN,” katanya ringkas kepada wartawan HIP di majlis memeterai perjanjian sebagai duta Yourgurt, di Kuala Lumpur, semalam. Pelakon itu kemudian bertukar dokumen perjanjian ini dengan Pengurus Besar Yourgurt, Nor Ainna Ibrahim.

Bagaimanapun, Aaron menegaskan apa sekalipun yang berlaku tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkerja dan berada dalam dunia seni di negara ini. Malahan, dia juga tidak mahu terus memperbesar-besarkan isu yang dibangkitkan oleh Pemangku Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.

“Sebenarnya tiada siapa yang perlu membuktikan apa-apa di sini. Ini bukannya perlawanan bagi membuktikan siapa menang atau kalah. Saya sebenarnya mempunyai banyak lagi benda atau perkara lain yang perlu difikirkan, seperti keluarga dan anak-anak, dan saya rasa tidak penting untuk saya terlalu memikirkan isu berkenaan.

“Saya pun tidak boleh menghentikan Zed Zaidi dari bertindak, kerana dia mempunyai hak untuk berbuat sedemikian. Saya rasa ini semua berpandukan kepada dasar kematangan masing-masing, dan saya tiada masa untuk memikirkan apa yang dia cakap menerusi laman sosial. Biarlah dia ingin memperkata apa sekali pun, dia boleh mencari saya atau berdepan bila-bila masa dia mahu pun,” jelasnya lagi.

Tidak pernah untuk berasa sedih atau marah, Aaron berkata, dia kini amat bersyukur kerana mendapat tawaran tanpa putus dari produksi di Malaysia selain Singapura dan Brunei.

Jadual seni hero Ombak Rindu sememangnya padat hingga hujung tahun. Baru saja dilantik sebagai duta produk makanan, Yourgurt, Aaron akan sibuk menjalani penggambaran untuk beberapa filem, antaranya ialah Dampak danCicak Man 3.

“Semalam saya baru saja habis penggambaran untuk drama Tanah Kubur arahan Rashid Sibir. Kemudian pada pertengahan bulan depan akan memulakan penggambaran filem aksi iaitu Dampak dan seterusnya Cicak Man 3 serta ada dua lagi filem, satu filem cinta dan satu lagi thriller, yang mana kini masih dalam perbincangan.

“Selain itu, saya juga sedang berbincang dengan sebuah produksi dari Brunei untuk membintangi filem mereka. Saya mendapat banyak tawaran bukannya hanya selepas saya bergelar Bintang Popular tapi sebelum anugerah itu diberikan lagi, saya sudah menerima banyak tawaran.

“Anugerah Bintang Popular itu sebenarnya tidak banyak mengubah saya, kerana saya tetap sama. Selagi saya melakukan kerja dengan ikhlas, semua itu akan datang sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Mekah hari ini bagi menunaikan umrah selama 12 hari.

Mengerjakan umrah buat kali kedua, Aaron bersama isterinya, Diyana Halik bukan sekadar melawat Tanah suci Makkah, tetapi turut menyatakan pemergiannya ke sana juga atas dasar kerja kerana akan menjayakan penggambaran drama bersiri 80 episod, Adam dan Hawa

Friday, May 11, 2012

CABARAN ZUL HUZAIMY : SEINDAH SAKURA

Utusan Malaysia : MEREALISASIKAN naskah novel kepada drama ternyata bukan sesuatu yang mudah. Namun bagi Zul Huzaimy, perkara tersebut merupakan salah satu cabaran yang harus dihadapi.

Diberi masa hanya 65 hari untuk disiapkan, drama Seindah Sakura yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama hasil tulisan Wan Mahani itu berjaya disiapkan.Namun, sebagai drama bersiri pertama yang diarahkan olehnya, Zul terlebih dahulu meminta nasihat dan juga tunjuk ajar daripada pengarah Bade dan isterinya, Erma Fatima.

"Tidak dinafikan, tekanan itu memang ada. Tapi Alhamdulillah saya berjaya siapkan penggambaran sebanyak 24 episod drama ini dalam masa 50 hari.
"Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan dengan kerenah cuaca tapi bersyukur kerana semua berjalan lancar dan dapat dihabiskan dalam jangka waktu lebih awal," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang ke-21 menerusi filem Wayang itu.

ZIZAN BEREHAT DUA BULAN

Berita Harian : BARU saja keluar dari hospital kerana mengalami radang otot, artis pelbagai bakat ini kembali menjalankan tugas walaupun diarahkan doktor untuk berehat sebaik-baiknya selama dua bulan. Dalam tempoh itu dia diminta tidak melakukan kerja berat. Namun, atas rasa tanggungjawab, Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Zizan Razak, masih ke lokasi penggambaran menjayakan tugasnya sebagai pelakon.

Ditemui di lokasi penggambaran Tokan di Jonker Street, Melaka, baru-baru ini, Zizan yang menghidupkan watak Mat Lobe, masih kelihatan tidak bertenaga. Namun, demi kerjaya, digagahkan juga kerana dirinya, jadual penggambaran filem itu terganggu.

Zizan dilihat agak sensitif apabila perihal kesihatannya disentuh. Apabila ditanya, dia hanya menjawab dirinya sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah. Siapa tahu apa yang terselindung di sebalik riak wajah pengacara yang semakin meningkat popular ini. Mana tidaknya, Zizan terlalu komited dengan aktiviti seninya sehingga tidak putus menerima tawaran kerja.

Zizan dimasukkan ke Hospital Pantai Medical Centre pada 29 April lalu kerana mengalami kekejangan di bahagian otot belakang badannya. Ketika itu Zizan baru memulakan perjalanan ke Ipoh, Perak, bagi menjayakan rancangan Melodi. Ditahan di wad selama beberapa hari, Zizan diberikan protein, vitamin, antibiotik serta diarahkan mengambil makanan tidak bergoreng. Sebelum itu, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat, apabila dia sering batuk dan sengal-sengal badan.
 
Seperti kata pengurusnya, Marina Juki, yang turut hadir menemani, seboleh-bolehnya Zizan tidak mahu mengembar-gemburkan masalah kesihatannya kerana tidak mahu merisaukan banyak pihak. Dia juga berasa bersalah jika dirinya tidak untuk menunjukkan persembahan yang baik kerana sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada kerjayanya.

Zizan sudah beransur pulih, namun dia masih memerlukan rehat secukupnya. Justeru, selepas tamat penggambaran filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar, yang berbaki beberapa hari lagi, Zizan akan berehat selama dua bulan. Dia hanya akan kembali sibuk dengan penggambaran filem pada pertengahan Julai.

Dalam tempoh dua bulan itu, Zizan hanya akan menjayakan dan menghadirkan diri ke majlis tertentu.

"Seperti dikatakan doktor, jika Zizan memaksa diri untuk terus bekerja keras tanpa rehat secukupnya, dia boleh diserang demam panas, secara tidak langsung memberi kesan lebih teruk kepada dirinya.

"Oleh itu, buat sementara waktu Zizan tidak akan terbabit dengan mana-mana penggambaran filem atau telefilem, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai hos Melodi, peserta Super Spontan, dan menghadiri beberapa majlis anjuran Mutiara Motors memandangkan Zizan ialah duta kepada M7 serta aktiviti yang diadakan Rempit United sebagai ahli. Kemungkinan Zizan akan pergi bercuti," ujarnya.

Zizan sendiri mengaku, dari hujung bulan ini hingga pertengahan Julai, dirinya akan terbabit dalam beberapa majlis penting saja.

"Bukannya saya berehat terus, tapi hanya buat seketika. Sekarang saya juga perlu memilih kerja dan hanya menerima yang penting saja. Saya suka bekerja dan perkara yang terjadi ini tidak boleh saya elak. Bukannya saya tidak memilih sebelum ini, tapi aktiviti yang saya lakukan ini sudah dijanji sejak tahun lalu. Bagaimanapun saya mesti buat kerana ia rezeki saya.

"Selain itu, saya juga akan fokus dengan aktiviti produksi saya sendiri, Zizan Co. Sebagai artis Astro, saya akan tampil dengan program saya sendiri, tapi ia masih dalam perbincangan. Saya akan tampil dengan persembahan TV dihasilkan produksi saya. Perancangan itu sudah ada, tapi penggambaran saja belum dilakukan," katanya yang akan muncul bersama filem Mael Lambong The Movie pada 21 Jun nanti.

Zizan dimasukkan ke Hospital Pantai Medical Centre pada 29 April lalu kerana mengalami kekejangan di bahagian otot belakang badannya. Ketika itu Zizan baru memulakan perjalanan ke Ipoh, Perak, bagi menjayakan rancangan Melodi. Ditahan di wad selama beberapa hari, Zizan diberikan protein, vitamin, antibiotik serta diarahkan mengambil makanan tidak bergoreng. Sebelum itu, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat, apabila dia sering batuk dan sengal-sengal badan.

Sementara itu, berbicara mengenai kesanggupan dirinya menerima tawaran lakonan dalam filem Tokan terbitan Pensil Pictures, Zizan menyifatkan wataknya dalam filem itu berbeza. Menghidupkan watak Mat Lobe, Zizan menggemari watak yang dikatakan mencabar kredibilitinya sebagai pelakon, kerana ia memerlukan dia tampil serius dan berbeza.

"Sebenarnya saya takut juga dengan penerimaan orang ramai nanti mengenai pembaharuan yang saya bawa. Saya membawakan watak serius, sebagai seorang tokan dan bermain dengan komedi yang gelap, di mana saya tidak perlu berlawak untuk membuatkan orang tertawa," ujarnya yang teruja dapat berlakon bersama pelakon berbakat besar seperti Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Johan As'ari dan Liyana Jasmay.

Filem Tokan menyelami kisah pengedaran dadah yang semakin berleluasa kini, apabila kegiatan ini semakin menjerat ramai rakyat tempatan.
 

BINGKISAN JAMAL BUAT KAUM IBU

Kosmo : PENYANYI tersohor, Jamal Abdillah, 52, tidak pernah putus dengan tawaran biarpun kini penyanyi baharu tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ini kerana, suara hebat dan aura yang dimiliki Jamal sentiasa memukau peminat-peminat tak kira lapisan umur.

Sejak awal tahun ini, Jamal menerima banyak tawaran daripada pihak penganjur yang mahu penyanyi itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, Hari Ibu dan Hari Bapa menjelang Jun nanti.

Malah, buat tahun ketiga berturut-turut Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memanggil Jamal untuk meraikan sambutan Hari Ibu di sana. Menggunakan tema Kasihnya Ibu...kembali lagi, majlis sambutan Hari Ibu anjuran PWTC bersama Wyn Wyn Events itu akan diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC pada 13 Mei ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar, mereka sekali lagi memilih Jamal untuk tiga tahun berturut-turut kerana rata-rata tetamu yang hadir mahukan Jamal sekali lagi untuk sambutan Hari Ibu di PWTC.

“Kami baru sahaja membuka meja tempahan dua minggu lalu, tetapi sebanyak 50 peratus meja telah habis dijual,” ujarnya ketika sidang akhbar Sambutan Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di PWTC, Kuala Lumpur.

Ujar Jamal pula, dia sangat berbesar hati kerana dipilih sekali lagi oleh PWTC untuk menjayakan Hari Ibu.

Dia yang mengharapkan dapat meninggalkan kenangan manis buat para ibu, akan menyanyi sekurang-kurangnya 12 buah lagu termasuk mengadakan persembahan secara unplugged dan bermain piano!

“Saya akan menyanyikan beberapa lagu secara unplugged dan sudah semestinya lagu wajib, Kasihnya Ibu dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu akan dinyanyikan.
“Tahun ini, saya akan tampil bersama pemain saksafon, Timer. Saya juga akan menyanyi sambil memetik piano dan gitar,” tuturnya.
Sambung bicara, Maxson memberitahu, untuk bufet hi-tea pada hari itu, pasukan chef PWTC akan menyediakan pelbagai masakan istimewa antaranya pilihan hidangan makanan Barat seperti kambing panggang dan pasta serta bolognaise.

“Bagi sajian Melayu pula antara hidangan utama adalah mi kari dan nasi goreng kampung. Bukan itu sahaja kami juga menyediakan hidangan masakan India dan Cina seperti pai ayam tandoori, empat jenis manisan India, yong tau fu, dim sum dan kuetiau goreng,” jelasnya.
Majlis petang itu turut diceriakan lagi dengan usikan dan lawak jenaka oleh Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali sebagai Dee yang turut dipilih sebagai pengacara majlis pada hari itu.

Tempahan meja untuk 10 tetamu adalah dari RM2,000, RM3,000 dan RM5,000. Bagi para peminat yang ingin bertemu dan menyaksikan persembahan Jamal, boleh membuah tempahan meja di kaunter tempahan, aras 2, PWTC atau melalui talian 03- 2614 6701 atau 03- 2614 6702.