Utusan Malaysia : MEREALISASIKAN naskah novel kepada drama ternyata bukan sesuatu yang mudah. Namun bagi Zul Huzaimy, perkara tersebut merupakan salah satu cabaran yang harus dihadapi.
Diberi masa hanya 65 hari untuk disiapkan, drama Seindah Sakura yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama hasil tulisan Wan Mahani itu berjaya disiapkan.Namun, sebagai drama bersiri pertama yang diarahkan olehnya, Zul terlebih dahulu meminta nasihat dan juga tunjuk ajar daripada pengarah Bade dan isterinya, Erma Fatima.
"Tidak dinafikan, tekanan itu memang ada. Tapi Alhamdulillah saya berjaya siapkan penggambaran sebanyak 24 episod drama ini dalam masa 50 hari.
"Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan dengan kerenah cuaca tapi bersyukur kerana semua berjalan lancar dan dapat dihabiskan dalam jangka waktu lebih awal," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang ke-21 menerusi filem Wayang itu.
Tambah Zul, lokasi penggambaran drama tersebut juga terpaksa ditukar dari lokasi asal seperti yang ditulis di dalam novel.
"Kalau diikutkan, kami kena cari rumah yang dekat dengan stesen keretapi sama seperti dalam novel.
"Tapi disebabkan faktor-faktor tertentu, kami terpaksa mengubah lokasi dengan berlatar belakangkan pantai bagi memudahkan kerja.
"Jadi kami paparkan kehidupan setinggan di kawasan Beserah, Kuantan, Pahang," katanya sambil memberitahu produksi drama tersebut itu juga turut menjalani penggambaran di Paris selama sembilan hari.
Selain itu, Zul juga sangat bersyukur kerana semua pelakon yang terlibat dalam drama tersebut mempunyai kekuatan masing-masing.
"Jika ada orang tanya apa kekuatan drama ini, saya rasa jalan cerita dan juga kekuatan setiap karakter yang ada di dalamnya sudah cukup untuk membuatkan penonton melekat di depan televisyen.
"Segalanya berjalan lancar dan sentiasa kena seperti yang digambarkan di dalam novel.
"Malah Mak Mah (Ruminah Sidek) yang membawa watak Nek Kiah dalam drama ini sangat berkesan.
"Walaupun Mak Mah tidak dapat skrip penuh, tapi lakonannya memang dapat dirasai sehingga ke penghujung cerita," katanya yang menyanjung tinggi kebolehan pelakon veteran tersebut.
Selain itu, Zul juga tidak mampu menyembunyikan rasa gementarnya apabila bekerja dengan aktor Datuk Eizlan Yusof kerana nama tersebut pernah mengarah dan menulis skrip drama sendiri sebelum ini.
Biarpun Seindah Sakura merupakan buah tangan pertamanya untuk drama bersiri, Zul sebelum ini pernah mengarah telemovie Kenapa Aku Mencuri, Rambong, Aku Belum Mati dan Inang Di Bumi Kerbau.
No comments:
Post a Comment